Jumaat, 8 Januari 2010

AHLI JAWATANKUASA MPP 2010

MAJLIS PERMUAFAKATAN PENDIDIKAN DUN DURIAN TUNGGAL

ALOR GAJAH: Pemimpin masyarakat dan kepimpinan sekolah disaran memainkan peranan bersama-sama mencari pendekatan serta kaedah terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak-anak di kawasan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip berkata, kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diharap dapat menjalin hubungan dan kerjasama dengan pihak sekolah bagi menjalankan program bersama demi kecemerlangan anak-anak didik di kawasan Durian Tunggal ini.

Ab. Wahab Bin Ab. Latip yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat penubuhan Majlis Permuafakatan Pendidikan (MPP) DUN Durian Tunggal di Bilik Mesyuarat Kompleks Japerun dekat sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, MPP terdiri daripada tujuh orang Guru Besar dan seorang Pengetua sekolah dalam kawasan DUN ini, sembilan Pengerusi JKKK DUN Durian Tunggal, tujuh orang Pengerusi PIBG setiap sekolah, dua orang guru, dua orang pegawai Japerun, seorang wakil Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM), dan seorang wakil Pegawai Pelajaran Daerah, Pejabat pelajaran Daerah (PPD), Alor Gajah.

Ab. Wahab yang pernah menjadi guru selama 24 tahun berkata, majlis berkenaan berperanan sebagai pemangkin bagi merencanakan segala program pendidikan di kawasan DUN Durian Tunggal dengan melibatkan semua kepimpinan sekolah, masyarakat serta perkongsian pintar dengan pihak UTeM.

“Melalui majlis ini, segala bentuk program pendidikan dapat disatukan di peringkat DUN dan dapat dijalankan bersama-sama.

Di samping itu, pihak guru juga dapat bertukar-tukar buah fikiran dan berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing melalui majlis ini bagi meningkatkan mutu pendidikan ke tahap yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perkongsian pintar dengan pihak UTeM di bawah kepimpinan Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusuff Hassan, Ab Wahab berkata, melalui perkongsian pintar ini masyarakat setempat khususnya di kawasan DUN Durian Tunggal akan mendapat manfaat dan kepakaran daripada pihak UTeM.

Di samping itu, kerjasama ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kepimpinan dan staf universiti dengan masyarakat setempat.

Tambahnya lagi, pelbagai program telah dirancang untuk dilaksana pada tahun ini antaranya Program Motivasi Kecemerlangan UPSR DUN Durian Tunggal bersama UTeM pada hujung Januari ini, Program Kelas Bimbingan bermula bulan Februari, Program Lawatan Penanda Aras ke sekolah-sekolah cemerlang pada bulan April, sambutan Hari Guru peringkat DUN pada bulan Jun, dan program kemasyarakatan bersama UTeM, pihak sekolah, masyarakat setempat dan NGO pada hujung tahun.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan wang daripada pihaknya sebanyak RM2000 kepada setiap sekolah di kawasan ini untuk menjalankan aktiviti pendidikan di sekolah masing-masing.

Sementara itu, Guru Besar SK Parit Melana, Safiah Syarif berkata langkah penubuhan MPP ini amatlah dialu-alukan dan syabas diucapkan. Ini kerana, melalui majlis permuafakatan pintar sebegini pihak sekolah dapat mengemukakan cadangan dan pandangan untuk kemajuan anak-anak didik di kawasan ini. Selain itu, segala permasalahan berkaitan pelajar di sekolah dapat dibincangkan bersama-sama kepimpinan masyarakat dan dapat mengatasinya secara sepakat.

Pengerusi JKKK Kampung Panchor, Borhan Maaras, berkata penubuhan majlis permuafakatan ini amat baik dan bertepatan kerana di sini kita dapat berbincang dan merancang program pendidikan bersama-sama dan menyelesaikan segala permasalahan berbangkit berkaitan anak-anak di sekolah dengan lebih berkesan lagi.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keterangan gambar.

Gambar 1 AB WAHAB bergambar kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Majlis Permuafakatan Pendidikan DUN Durian Tunggal, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan